Wednesday, August 24, 2011

Perutusan IdulFitri 1432H





Salam Sejahtera

Barisan Exco dan Ahli Persatuan EXEC yang dikasihi,

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya dan semua Exco tertinggi Persatuan EXEC sekiranya terdapat salah dan silap sepanjang kami menerajui Persatuan. Sesungguhnya kami telah berusaha untuk menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi demi satu tujuan iaitu bagi memastikan Persatuan menjadi sebuah badan yang disegani dan dihormati dalam memperkasakan kebajikan, pengetahuan dan kepimpinan setiap ahli serta membantu memastikan segala wawasan, usaha dan program transformasi yang dilaksanakan oleh LHDNM dapat disempurnakan dengan jayanya.

Namun sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap. Justeru, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk bermaaf-maafan dan berlapang dada agar saling memaafi antara satu sama lain. Ia adalah bertepatan dengan matlamat ramadhan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T iaitu untuk melahirkan insan yang bertakwa dan beriman kepadaNya. Adalah menjadi lumrah dalam sesebuah organisasi wujudnya pelbagai pandangan dan pendapat berkaitan sesuatu perkara atau isu yang timbul. Masing-masing mempunyai hujah dan idea untuk diketengahkan. Ia menunjukkan bahawa Exco dan ahli Persatuan mempunyai keazaman yang tinggi serta sentiasa bersedia untuk memberikan komitmen yang terbaik terutamanya dalam bentuk curahan idea yang sangat dialu-alukan.

Walau bagaimanapun kita perlu membuat satu keputusan yang terbaik untuk Persatuan secara musyawarah, dan sesuatu keputusan yang dibuat telah mengambil kira semua pandangan yang diketengahkan oleh semua pihak. Keputusan-keputusan ini dibuat secara kolektif demi kepentingan Persatuan bagi merealisasikan misi untuk memastikan Persatuan menjadi sebuah badan yang disegani dan dihormati dalam memperkasakan kebajikan, pengetahuan dan kepimpinan setiap ahli serta membantu memastikan segala wawasan, usaha dan program transformasi yang dilaksanakan oleh LHDNM dapat disempurnakan dengan jayanya. Untuk itu, keputusan yang telah dibuat oleh pihak Exco Persatuan perlu dilaksanakan serta dihayati oleh semua ahli untuk membantu dan bersama-sama Exco Persatuan ke arah misi yang ditetapkan.

Perkara ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak mempunyai ahli bersungguh-sungguh dan komited serta sanggup mengetepikan segala perbezaan pandangan demi kemajuan Persatuan. Kita perlu meletakkan kepentingan Persatuan mengatasi kepentingan lain sebagai syarat untuk melihat Persatuan ini dihormati oleh semua pihak sama ada di dalam LHDNM atau peringkat Nasional.

Dalam dunia yang penuh persaingan sekarang, kita memerlukan satu pasukan kerja yang sentiasa hebat dan bermotivasi tinggi. Saya percaya bahawa Exco dan ahli Persatuan merupakan sebuah pasukan kerja yang sentiasa mengejar kecemerlangan demi kecemerlangan. Ini dapat dilihat apabila kita telah berjaya mencapai beberapa kejayaan sebelum ini sama ada di dalam menjaga kebajikan dan kepentingan ahli atau urusan penganjuran aktiviti dan program.

Persatuan EXEC kini berada pada landasan yang terbaik untuk membuat lonjakan bagi mencapai kegemilangan yang lebih baik di LHDNM pada masa ini dan pada masa depan. Dari semasa ke semasa kita telah mengumpul kekuatan terutamanya dalam memperkemaskan pengurusan Persatuan dan  menjalinkan kerjasama dengan banyak pihak bagi memastikan barisan Exco dan ahli mempunyai jaringan yang luas dengan semua pihak di dalam mahupun luar. Selain itu, adalah diharapkan dengan kerjasama dan jaringan yang dijalinkan akan meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan pengurusan organisasi kepada Exco dan ahli supaya mereka lebih berdaya saing dan berdaya maju pada masa-masa akan datang.

Saya percaya dengan pelantikan Exco tertinggi sesi 2011/2012 Persatuan EXEC akan menjadi lebih kompetitif dan bakal bersaing dengan lebih teguh bagi memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah Persatuan  yang lebih dinamik dan berwibawa.

Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Exco tertinggi dan ahli yang telah memberikan kerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mengerakkan Persatuan sehingga ke tahap ini. Semoga Ramadhan yang dilalui dapat mempertingkatkan keteguhan keimanan kita kepada Allah S.W.T di samping telah memberi kita lebih keazaman untuk terus maju pada masa hadapan. Kepada yang bakal mengadakan perjalanan yang jauh bersama keluarga, nasihat saya, rancanglah perjalanan anda dengan betul dan berhati-hatilah di sepanjang perjalanan pulang agar selamat sampai ke kampung halaman. Sentiasalah ingat orang yang tersayang. Pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik dan telah diselenggara lebih awal untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih


“ KESEPADUAN TERAS KEGEMILANGAN”


(BACHO ABDUL KARIM)
Presiden
EXEC 2011-2012

Majlis Sumbangan Derma dan Berbuka Puasa Bersama-Sama Anak Yatim

Salam Sejahtera.
IFTAR BERSAMA ANAK-ANAK YATIM 2011, ANJURAN PERSATUAN PEGAWAI EKSEKUTIF (EXEC) LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA DENGAN KERJASAMA SEKOLAH KEBANGSAAN SELAYANG BARU 1 DAN YAYASAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM MALAYSIA (YATIM)  


Pada 24 Ramadhan 1432H bersamaan 24 Ogos 2011, Persatuan Pegawai Eksekutilf Hasil Dalam Negeri Malaysia (EXEC) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 1 dan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Malaysia (YATIM)  telah mengadakan satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim sekitar Selayang Baru. Majlis telah diadakan di Dewan Amal Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 1, Selayang Baru.

Seramai 100 orang anak yatim yang berumur dari 7 hingga 12 tahun diraikan dalam suasana yang cukup meriah. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 1, Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang, Sekolah Kebangsaan (1) Taman Selayang dan Sekolah Kebangsaan Selayang Baru Dua.

Tetamu yang hadir pada majlis ini ialah Tuan Saiyed Mohd Sharif bin Saiyed Hassan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 1.  Encik Bacho Abdul Karim, Presiden EXEC, Pengarah Urusan YATIM, Encik Salehhuddin bin Osman dan wakil Jabatan Pendidikan Selayang.

Selepas solat Maghrib berjemaah, semua anak-anak yatim dan tetamu menikmati hidangan makan malam. Acara kemuncak ialah penyerahan sumbangan daripada pihak EXEC kepada anak-anak yatim yang diraikan. Sumbangan adalah berbentuk kamus, kupon pembelian buku latihan dan duit raya. Sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli EXEC ini diharap dapat meringankan beban keluarga anak-anak yatim dalam menyambut lebaran yang bakal tiba.  Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak ini sepanjang majlis berlangsung.

Pihak EXEC mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini terutamanya pihak YATIM dan Sekolah Kebangsaan Selayang Baru 1.
















Salam Ramadan Al Mubarak,

Tuan/Puan/Cik Yang Dirahmati.

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada e-mail saya bertarikh 3 Ogos 2011 berkenaan sumbangan/derma kepada anak yatim/warga tua serta berkenaan perkara di atas.

Alhamdulillah syukur diucapkan ke hadrat Allah SWT, kerana dengan KeizinanNYA jua Persatuan Pegawai Eksekutif Hasil Dalam Negeri Malaysia (EXEC) telah Berjaya mengutip sumbangan/derma iklhas daripada semua ahli-ahli EXEC seluruh negara untuk disedekahkan kepada anak-anak Yatim/Warga Tua sempena Bulan Ramadhan Yang Mulia ini sebanyak RM 8,395/-.
Untuk makluman juga perbelanjaan berbuka puasa untuk guru-guru pengiring dan Exco EXEC yang hadir adalah disumbangkan daripada duit sumbangan Persatuan EXEC dan bukannya daripada duit kutipan sumbangan sebanyak RM 8,395/-. **Manakala sumbangan kepada Ibu Tunggal/Warga Tua akan juga dilaksanakan dan tambahan sumbangan akan dibuat daripada duit persatuan mengikut jumlah bilangan Ibu Tunggal/Warga tua kelak yang akan ditentukan sedikit masa lagi dan akan dimaklumkan (sedang diuruskan oleh Biro CSR persatuan EXEC).

Maka adalah diharapkan agar wakil cawangan/jabatan dapat memanjangkan e-mail ini kepada semua ahli-ahli EXEC dicawangan/jabatan masing-masing untuk makluman semua.

Akhir sekali kami pihak Exco Tertinggi, AJK Pusat dan Wakil Cawangan/Jabatan ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak beberapa lama lagi dan mendoa’kan semuga semua ahli-ahli EXEC seluruh negara selamat dalam perjalanan pulang dan kembali daripada bercuti hari raya. Pihak kami juga memohon ampun dan maaf daripada semua ahli-ahli EXEC, sekiranya dalam perjalanan untuk menguruskan persatuan EXEC ini terdapat sebarang kesilapan dan kelemahan yang tidak disengajakan.

Wassallam. Illaliqo’

Sekian, terima kasih

“ KESEPADUAN TERAS KEGEMILANGAN”



(MOHD RAZALI BIN ABD MAJID)