Wednesday, August 24, 2011

Perutusan IdulFitri 1432H





Salam Sejahtera

Barisan Exco dan Ahli Persatuan EXEC yang dikasihi,

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya dan semua Exco tertinggi Persatuan EXEC sekiranya terdapat salah dan silap sepanjang kami menerajui Persatuan. Sesungguhnya kami telah berusaha untuk menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi demi satu tujuan iaitu bagi memastikan Persatuan menjadi sebuah badan yang disegani dan dihormati dalam memperkasakan kebajikan, pengetahuan dan kepimpinan setiap ahli serta membantu memastikan segala wawasan, usaha dan program transformasi yang dilaksanakan oleh LHDNM dapat disempurnakan dengan jayanya.

Namun sebagai manusia biasa, kita tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap. Justeru, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk bermaaf-maafan dan berlapang dada agar saling memaafi antara satu sama lain. Ia adalah bertepatan dengan matlamat ramadhan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T iaitu untuk melahirkan insan yang bertakwa dan beriman kepadaNya. Adalah menjadi lumrah dalam sesebuah organisasi wujudnya pelbagai pandangan dan pendapat berkaitan sesuatu perkara atau isu yang timbul. Masing-masing mempunyai hujah dan idea untuk diketengahkan. Ia menunjukkan bahawa Exco dan ahli Persatuan mempunyai keazaman yang tinggi serta sentiasa bersedia untuk memberikan komitmen yang terbaik terutamanya dalam bentuk curahan idea yang sangat dialu-alukan.

Walau bagaimanapun kita perlu membuat satu keputusan yang terbaik untuk Persatuan secara musyawarah, dan sesuatu keputusan yang dibuat telah mengambil kira semua pandangan yang diketengahkan oleh semua pihak. Keputusan-keputusan ini dibuat secara kolektif demi kepentingan Persatuan bagi merealisasikan misi untuk memastikan Persatuan menjadi sebuah badan yang disegani dan dihormati dalam memperkasakan kebajikan, pengetahuan dan kepimpinan setiap ahli serta membantu memastikan segala wawasan, usaha dan program transformasi yang dilaksanakan oleh LHDNM dapat disempurnakan dengan jayanya. Untuk itu, keputusan yang telah dibuat oleh pihak Exco Persatuan perlu dilaksanakan serta dihayati oleh semua ahli untuk membantu dan bersama-sama Exco Persatuan ke arah misi yang ditetapkan.

Perkara ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya kita tidak mempunyai ahli bersungguh-sungguh dan komited serta sanggup mengetepikan segala perbezaan pandangan demi kemajuan Persatuan. Kita perlu meletakkan kepentingan Persatuan mengatasi kepentingan lain sebagai syarat untuk melihat Persatuan ini dihormati oleh semua pihak sama ada di dalam LHDNM atau peringkat Nasional.

Dalam dunia yang penuh persaingan sekarang, kita memerlukan satu pasukan kerja yang sentiasa hebat dan bermotivasi tinggi. Saya percaya bahawa Exco dan ahli Persatuan merupakan sebuah pasukan kerja yang sentiasa mengejar kecemerlangan demi kecemerlangan. Ini dapat dilihat apabila kita telah berjaya mencapai beberapa kejayaan sebelum ini sama ada di dalam menjaga kebajikan dan kepentingan ahli atau urusan penganjuran aktiviti dan program.

Persatuan EXEC kini berada pada landasan yang terbaik untuk membuat lonjakan bagi mencapai kegemilangan yang lebih baik di LHDNM pada masa ini dan pada masa depan. Dari semasa ke semasa kita telah mengumpul kekuatan terutamanya dalam memperkemaskan pengurusan Persatuan dan  menjalinkan kerjasama dengan banyak pihak bagi memastikan barisan Exco dan ahli mempunyai jaringan yang luas dengan semua pihak di dalam mahupun luar. Selain itu, adalah diharapkan dengan kerjasama dan jaringan yang dijalinkan akan meningkatkan lagi kemahiran komunikasi dan pengurusan organisasi kepada Exco dan ahli supaya mereka lebih berdaya saing dan berdaya maju pada masa-masa akan datang.

Saya percaya dengan pelantikan Exco tertinggi sesi 2011/2012 Persatuan EXEC akan menjadi lebih kompetitif dan bakal bersaing dengan lebih teguh bagi memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah Persatuan  yang lebih dinamik dan berwibawa.

Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Exco tertinggi dan ahli yang telah memberikan kerjasama dan berusaha bersungguh-sungguh bagi mengerakkan Persatuan sehingga ke tahap ini. Semoga Ramadhan yang dilalui dapat mempertingkatkan keteguhan keimanan kita kepada Allah S.W.T di samping telah memberi kita lebih keazaman untuk terus maju pada masa hadapan. Kepada yang bakal mengadakan perjalanan yang jauh bersama keluarga, nasihat saya, rancanglah perjalanan anda dengan betul dan berhati-hatilah di sepanjang perjalanan pulang agar selamat sampai ke kampung halaman. Sentiasalah ingat orang yang tersayang. Pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik dan telah diselenggara lebih awal untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.

Sekian, terima kasih


“ KESEPADUAN TERAS KEGEMILANGAN”


(BACHO ABDUL KARIM)
Presiden
EXEC 2011-2012

No comments:

Post a Comment